Judul : Keputusan kerajaan PH batal semakan ICJ korbankan kedaulatan negara
link : Keputusan kerajaan PH batal semakan ICJ korbankan kedaulatan negara
Keputusan kerajaan PH batal semakan ICJ korbankan kedaulatan negara
17 Syawal 1439H, Ahad – Tiga dokumen baharu yang ditemui di Britain boleh menjadi bukti kukuh yang boleh mengembalikan Pulau Batu Puteh kepada Malaysia dan mengubah keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung hak milik pulau itu, jika kerajaan sekarang meneruskan semakan.
Dokumen baharu itu dikatakan mampu mengatasi surat yang dibuat pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953, yang menjadi asas keputusan ICJ menyerahkan pulau yang menjadi pertikaian Malaysia-Singapura sejak 1979, kepada negara republik berkenaan pada 23 Mei 2008.
Dokumen yang diubah status sulit oleh kerajaan Britain pada 2013, berjaya dikesan selepas dua peguam Malaysia dihantar ke London pada 2016, bagi menyemak ribuan dokumen sulit berkaitan Asia Timur.
Dokumen berkenaan dikatakan ditemui di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017.
Ketiga-tiganya ialah:
1. Dokumen komunikasi dalaman antara Pejabat Kolonial British di Singapura dan London yang menyatakan bahawa Pulau Batu Puteh adalah di bawah negeri Johor.
2. Dokumen daripada Tentera Laut Diraja Britain yang menghantar telegram kepada Pejabat Kolonial memaklumkan satu insiden di mana mereka telah mengejar sebuah kapal Indonesia bernama Labuan Haji. Tentera Laut British kejar dan kapal itu lari ke Pulau Batu Puteh. Mereka kata, tidak boleh masuk sebab kawasan itu adalah dalam perairan Johor.
3. Peta operasi tentera British yang mana mereka membuat operasi pada 1960 yang jelas menyatakan bahawa sekitar perairan Pulau Batu Puteh adalah kepunyaan Johor.
Tiga dokumen kukuh dan boleh mengembalikan Pulau Batu Puteh kepada Malaysia, itu bertarikh antara 1958 dan 1960.
Perkara itu didedahkan bekas Peguam Negara, Tran Sri Mohamed Apandi Ali yang melahirkan kekecewaan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan membatalkan semakan keputusan ICJ, tanpa meminta pandangan beliau dan mengkaji dokumen terbaharu yang ditemui itu.
Persiapan telah dilakukan bagi membentangkan hujah di ICJ, namun kerajaan PH telah menyerah kalah sebelum memulakan perjuangan bagi mendapatkan semula Pulau Batu Pute,h sekali gus menyebabkannya terlepas ke tangan Singapura buat selama-lamanya.
Menegaskan bahawa apa yang dibangkitkan tiada kaitan politik sama sekali, Mohamed Apandi berkata, ketika menjadi hakim, beliau mengikuti perkembangan kes berkaitan isu Pulau Batu Puteh, dan sedih kerana Malaysia kehilangan kedaulatan ke atasnya.
“Pada tahun 2013, kerajaan British telah mengisytiharkan akan mengubah status semua surat-surat sulit yang berkaitan dengan Asia Timur. Apabila saya dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015, terlintas dalam fikiran saya hendak cuba mengambil balik kedaulatan kita dalam soal Pulau Batu Puteh.
“Lantaran itu, pada April 2016, saya menghantar dua peguam dari Malaysia ke London untuk membuat penyelidikan dokumen-dokumen yang terdapat di Arkib British. Mereka melihat terdapat lebih 3,000 dokumen yang diubah status berkaitan Asia Timur di sana.
“Dua peguam yang saya hantar ini berada di sana selama berbulan-bulan dan akhirnya mereka menemukan tiga dokumen. Itu yang saya teruja, ada tiga dokumen boleh mengembalikan Pulau Batu Puteh. Tiga dokumen ini tidak dilihat semasa ICJ membuat keputusan dahulu, jadi ini adalah keterangan baharu atau bukti baharu,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Utusan, yang disiarkan hari ini.
Mohamed Apandi berkata, berikutan itu beliau melantik tiga Queen’s Counsel yang juga peguam terkemuka dan pakar undang-undang antarabangsa, dan seorang daripadanya ialah Prof Malcolm Shaw – profesor terulung di dunia dalam undang-undang antarabangsa dan telah menulis banyak buku.
Beliau berkata, seorang lagi ialah Sir Daniel Bethlehem, iaitu pakar undang-undang antarabangsa dan seorang lagi pakar ialah Prof Brian Plant, warga Australia, tetapi menjadi pensyarah di Universiti Cambridge dan pernah menulis tesis untuk kedoktorannya dengan berpandukan kes Pulau Batu Puteh.
“Dalam tesis itu, memang beliau mempersoalkan keputusan ICJ. Plant kata keputusan itu tidak betul dan menyatakan hujah-hujahnya dalam tesis itu. Jadi, tiga orang ini serta saya dan dua orang peguam saya, duduk berbincang mengenai tiga keterangan yang kita temukan itu, sama ada memadai atau tidak untuk kita mengubah keputusan mahkamah.
“Mereka semua berbincang dan bersetuju bahawa kita memang ada kes yang kuat. Dari segi undang-undang antarabangsa, kita buat ini melalui semakan. Keputusan memang sudah diberi, kita kena akur tetapi kita boleh semak semula kerana jumpa keterangan baharu,” katanya.
Mohamed Apandi berkata, sebarang semakan mengikut Statut 61 ICJ, permohonan sedemikian hanya boleh dibuat dalam tempoh 10 tahun selepas keputusan dan dalam tempoh itu bermakna kembali kepada keputusan tahun 2008, dan tarikh terakhirnya adalah 2018.
“Selepas itu ada satu syarat pula yang menyatakan, kalau jumpa bukti baharu, kena masukkan permohonan dalam masa enam bulan selepas penemuan bukti baharu. Jadi kita jumpa tiga dokumen itu dalam bulan September atau Oktober 2016, beberapa bulan selepas mereka pergi membuat penyelidikan.
“Justeru, saya telah membuat cadangan kepada Kabinet terdahulu, malah saya dipanggil dan pergi membuat taklimat kepada Kabinet. Saya cerita mengenai bukti baharu, dari segi geografi dan sejarah, memang pulau ini kita punya. Kabinet sebulat suara meluluskan agar Malaysia membuat semakan.
“Mahkamah memaklumkan kepada saya, selepas kita masukkan hujahan bertulis, keterangan baharu dan kemudian hujahan-hujahan peguam kita yang dokumennya banyak dan tebal, ICJ telah menetapkan tarikh bicara iaitu 11 hingga 22 Jun 2018, dengan pelepasan untuk Hari Raya Aidilfitri pada 19, 20 dan 21 Jun,” katanya.
Tempoh 22 hingga 28 Jun ditetapkan untuk perbicaraan di ICJ di The Hague, Belanda. Kita pun telah menempah hotel di The Hague. Queen’s Counsel pun akan hadir sama. Saya dan mereka akan berhujah, katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan baharu tiba-tiba mengisytiharkan bahawa permohonan semakan semula di ICJ ditarik balik, membuatkan saya terkilan.
“Jadi, tidak rujuk kepada saya, tidak panggil saya untuk taklimat. Saya beranggapan oleh kerana keputusan dahulu adalah keputusan Kabinet, sepatutnya saya pergi taklimat Kabinet kalau mereka hendak kaji semula atau sebagainya.
“Tentang penarikan balik kes ini, saya punya pandangan adalah ini satu keputusan kurang cerdik kerana semua persediaan, semua dokumen dan hujahannya telah difailkan. Tidak ada sebab kenapa kita harus memberhentikan tindakan tersebut. Queen’s Counsel dan saya, semuanya bersedia untuk berhujah.
“Sebab ini melibatkan kedaulatan, ia melibatkan maruah negara, bukan suatu keputusan yang boleh dibuat sewenang-wenangnya. Ia patut dikaji, dengar dahulu pandangan saya. Semua Queen’s Counsel bersetuju kita ada kes yang kuat, terserah kepada mahkamah untuk memutuskan. Kenapa kita tidak boleh serahkan kepada mahkamah?.
“Tiada ada ruang lagi untuk buat permohonan semakan semula di ICJ. Tiada jalan, hilang selama-lamanya. Itu yang saya terkilan, itu yang saya sedih. Kenapa?
“Kalau mahkamah buat keputusan, saya puas hati, tidak mengapa. Kita sudah bermati-matian, kita kalah dalam perlawanan, dalam pertempuran, tidak mengapa. Ini kalah tanpa melawan, kenapa? Itu yang menimbulkan persoalan dalam diri saya,” katanya. - Ismaweb
Demikianlah Artikel Keputusan kerajaan PH batal semakan ICJ korbankan kedaulatan negara
Sekianlah artikel Keputusan kerajaan PH batal semakan ICJ korbankan kedaulatan negara kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Keputusan kerajaan PH batal semakan ICJ korbankan kedaulatan negara dengan alamat link https://malaypostt.blogspot.com/2018/07/keputusan-kerajaan-ph-batal-semakan-icj.html