Judul : NAFAS BAHARU PENOREH GETAH
link : NAFAS BAHARU PENOREH GETAH
NAFAS BAHARU PENOREH GETAH
Peningkatan harga getah Free on Board (FOB) baru-baru ini memberi impak positif kepada peningkatan harga getah di peringkat ladang yang dikeluarkan oleh pekebun kecil getah.
Harga getah telah mulai pulih sejak suku tahun ke empat 2016 dan terus menunjukkan pengukuhan pada suku tahun pertama 2017.
Ia merupakan satu senario yang baik kepada mereka yang terlibat di dalam industri berkaitan getah sekali gus mampu membantu meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi terutamanya pekebun kecil.
Ikuti temu bual Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Operasi, Lembaga Getah Malaysia (LGM), Suarni Sumormo bersama wartawan Sinar Harian, NINA FARZUIN MD SHAROM dan jurufoto, SHARIFUDIN ABD RAHIM.
Bagaimana sebenarnya senario harga getah pada masa kini? Adakah menunjukkan trend positif?
Purata harga getah Standard Rubber Malaysia 20 (SMR20) Free On Board (FOB) pada tahun lalu mencatatkan paras RM5.68 sekilogram dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM4.70 sekilogram atau 8.9 peratus berbanding pada tahun 2015 iaitu RM5.21 sekilogram. Harga terendah direkodkan pada tahun 2016 ialah RM4.26 sekilogram pada 11 Februari 2016 manakala harga tertinggi ialah RM9.46 sekilogram pada 15 Disember 2016.
Pada 31 Januari lalu, harga getah gred yang sama direkodkan pada paras RM10.59 sekilogram iaitu melepasi rekod tertinggi sejak Mei 2012.
Bagi tempoh suku tahun pertama hingga ketiga 2016, harga getah berada dalam keadaan bercampur-campur di mana harga getah telah jatuh mendadak ke paras terendah pada suku pertama dan kembali stabil menjelang suku kedua. Walaupun harga meningkat secara sederhana pada suku ketiga, pasaran terus menyaksikan kadar turun naik yang tinggi bagi ketiga-tiga suku tahun tersebut.
Sejauh mana sumbangan eksport industri getah negara pada 2016?
Pendapatan eksport getah negara yang tertinggi dicatatkan dalam tempoh kajian ialah RM40.1 bilion pada tahun 2011 apabila harga getah asli pada ketika itu mencatatkan purata tahunan tertinggi iaitu RM13.48 sekilogram. Bagi tahun 2016, sektor getah negara telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM32.8 bilion yang merangkumi sektor seperti getah asli (RM5.65 bilion), barangan getah (RM18.12 bilion), kayu getah (RM8 bilion) dan lain-lain getah (RM1.03 bilion). Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 2015 yang memperoleh RM33.33 bilion disebabkan oleh beberapa faktor seperti permintaan getah negara yang berkurang dan penurunan harga getah pada sepuluh bulan pertama 2016.
Bagaimana pula prospek pasaran getah tahun ini?
Prospek jangka masa terdekat untuk pasaran getah masih memberangsangkan. Gabungan minat belian yang kukuh dalam pasaran hadapan dan pengukuhan harga minyak mentah menjadi peranan utama dalam mempengaruhi harga pasaran. Permintaan yang berterusan dalam keadaan bekalan yang terhad dijangka menyokong pasaran.
Keadaan pasaran kini dijangka kekal kukuh dalam tempoh terdekat kerana bekalan bahan mentah di Thailand dan Semenanjung Malaysia akan terus berkurangan disebabkan keadaan hujan yang berpanjangan dan banjir di beberapa kawasan yang telah mengganggu pengeluaran getah. Gangguan pengeluaran akan berterusan sehingga daun luruh pada bulan Februari hingga Mei.
Namun demikian, pasaran hadapan getah dan harga minyak mentah dijangka tidak menentu kerana lebih ramai pelabur akan terus berada dalam keadaan tunggu dan lihat terhadap ketidaktentuan yang bakal berlaku berikutan keputusan dasar-dasar yang akan dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. Kita jangkakan, pasaran akan kekal sederhana pada tahun 2017 selaras dengan prospek ekonomi global.
Kesan kepada pekebun kecil dan industri secara keseluruhannya terhadap harga getah terkini?
Kenaikan harga getah peringkat ladang memberi kesan positif kepada pekebun kecil kerana keadaan ini membantu meningkatkan pendapatan mereka. Dengan keluasan kebun dua hektar dan produktiviti 3,000 kilogram sehektar setahun, pada purata harga cuplumps (getah yang dihasilkan pekebun kecil) semasa RM3.00 sekilogram, pendapatan bulanan pekebun kecil sebulan dianggarkan RM1,500 sebulan berbanding RM1,000 sebulan sekiranya purata harga cuplumps RM2.00 sekilogram.
Kenaikan harga akan mendorong pekebun kecil untuk terus menoreh dan sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran getah negara. Ini seterusnya akan membantu memastikan sumber bekalan getah domestik mencukupi bagi aktiviti pemprosesan dan pengeluaran barangan getah.
Pada masa ini, negara mengimport sekitar 900,000 tan bagi menampung keperluan kedua-dua sub-sektor ini. Untuk jangka masa panjang peningkatan harga getah akan mengurangkan pergantungan import sumber bahan mentah.
Apakah faktor yang mempengaruhi peningkatan harga getah di pasaran?
Bukan hanya di Malaysia, kebanyakan negara yang mengeluarkan getah seperti Thailand dan Indonesia akan mengalami musim tengkujuh pada Oktober sehingga Januari setiap tahun. Trend harga getah dipengaruhi oleh trend pengeluaran tahunan. Harga getah pada setiap Januari biasanya akan meningkat disebabkan berlakunya musim hujan dan terdapat kawasan mengalami banjir yang menjejaskan pengeluaran getah.
Selepas itu pengeluaran getah akan berkurangan kerana pada ketika itu berlakunya musim luruh sehingga pertengahan Mei. Pada biasanya harga getah pada ketika ini lebih tinggi daripada biasa.
Disebabkan itu, kenaikan harga getah mulai Julai 2016 telah menunjukkan peningkatan yang konsisten. Kenaikan ini disebabkan beberapa faktor iaitu permintaan yang meningkat daripada China kerana negara ini menggunakan lebih daripada 45 peratus pengeluaran getah dunia. Peningkatan permintaan itu juga adalah berikutan laporan pengurangan stok getah serta peningkatan permintaan kenderaan di negara itu yang kini melonggarkan syarat pemilikan kenderaan kepada rakyatnya.
Selain faktor berkaitan getah, harga minyak mentah dunia juga mempengaruhi peningkatan harga getah di pasaran. Pengukuhan harga mintak mentah baru-baru ini melepasi paras AS$50 setong selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (Opec) dan beberapa negara lain seperti Rusia bersetuju mengurangkan lebihan bekalan minyak mentah dunia bermula Januari lalu sebagai usaha menstabilkan harga pasaran minyak.
Bagaimana pula dengan faktor-faktor yang mempengaruhi penurunan harga getah?
Faktor-faktor penurunan harga getah bagi tempoh tiga suku pertama tahun 2016 adalah disebabkan berkurangnya permintaan yang berpunca daripada keadaan ekonomi China yang perlahan.
Selain itu, kejatuhan harga minyak mentah dunia, kesuraman ekonomi di Eropah dan Asia serta kegagalan Opec menangani isu lebihan bekalan minyak juga mempengaruhi penurunan harga getah di pasaran.
Laporan mengenai peningkatan stok getah di Tokyo, Singapura dan Shanghai berikutan kelemahan pasaran ekuiti serta harga minyak mentah yang rendah serta ketidakstabilan ringgit berbanding dolar AS juga turut mempengaruhi.
Pada bulan Julai hingga September, produktiviti getah akan mencapai tahap tertinggi. Pada ketika itu harga getah akan mengalami penurunan sedikit.
Di Malaysia, berapakah keluasan dan pengeluaran tanaman getah dan sejauh mana ia memberi manfaat kepada rakyat?
Pada ketika ini keluasan tanaman getah di negara adalah lebih kurang 1.07 juta hektar termasuk Sabah dan Sarawak dengan anggaran jumlah pengeluaran getah asli sebanyak 650,000 tan setahun. Sasaran keluasan tanaman getah pada 2020 adalah seluas 1.2 juta hektar dengan sasaran untuk tanam semula 40,000 hektar setahun mulai 2012. Manakala untuk tanaman baharu disasarkan sebanyak 30,000 hektar setahun sehingga 2016.
Daripada keluasan sedia ada, ia menyumbangkan pendapatan kepada lebih 450,000 keluarga pekebun kecil sekali gus dianggarkan lebih kurang dua juta orang yang bergantung pada pendapatan daripada hasil getah. Jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk mereka yang bekerja di sektor pemprosesan dan tekstur pembuatan bahan getah yang dianggarkan seramai 140,000 orang. Faktor utama mengapa industri getah dikenali sebagai Industri Strategik Negara adalah kerana ia menyediakan pendapatan kepada kelompok besar masyarakat terutamanya di luar bandar.
Apakah inisiatif yang disediakan dalam membantu industri getah negara?
Apabila industri getah ini dikenali sebagai industri strategik negara, maka pelbagai sumbangan telah diberikan oleh kerajaan bagi memastikan industri ini terus berkembang. Industri getah disenaraikan antara sektor yang tersenarai di dalam Bidang Ekonomi Nasional Utama (NKEA) bagi memastikan produktiviti negara meningkat daripada 1,500 kilogram per hektar setiap tahun kepada 2,000 kilogram per hektar bermula 2020.
Selain itu, pada 2015 kerajaan memperkenalkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dengan memperuntukkan sebanyak RM130 juta bantuan kepada pekebun kecil bagi menangani impak kejatuhan harga getah. Program ini telah ditambah baik pada 2016 dengan jumlah peruntukan RM200 juta. Ini adalah inisiatif untuk memastikan majoriti pekebun kecil akan mendapat pendapatan tidak kurang RM1,200 sebulan.
Mekanisme penetapan harga di ladang turut diperkenalkan pada November 2014 yang turut melibatkan penyertaan koperasi dalam urus niaga getah bagi mengurangkan lapisan pembeli. Peruntukan disediakan sebanyak RM6.4 juta sebagai modal pusingan kepada koperasi-koperasi untuk tujuan urus niaga.
Sehingga 2012 hingga 2016, kerajaan turut melakukan tanaman semula melibatkan kawasan seluas 150,700 hektar dan tanaman baharu di 53,500 hektar untuk memastikan penghasilan getah asli mencukupi. Kita menjangkakan keperluan getah dalam negara pada 2020 adalah sebanyak 2 juta tan dan kita cuba mengeluarkan sendiri sebanyak 1.2 juta tan dan selainnya kita akan import.
Demikianlah Artikel NAFAS BAHARU PENOREH GETAH
Sekianlah artikel NAFAS BAHARU PENOREH GETAH kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel NAFAS BAHARU PENOREH GETAH dengan alamat link https://malaypostt.blogspot.com/2017/02/nafas-baharu-penoreh-getah.html